Sabtu, 15 Oktober 2011

BOSAN???


alt
"Kerja dah siap. Basuh baju pun dah. Homeworkpun dah settle."
"Bosanlah. Nak buat apa lagi ye.. Hmm.. tengok tv la.. apa cerita yang best ea hari ni? Bukak Facebook pun ok jugak."

Ini ngomelan yang mungkin biasa kita dengar. Ada hari-hari yang kita akan rasa bosan, mungkin kerana kerja-kerja sudah disiapkan atau pun mungkin kerana rutin yang sama setiap hari.

Sepatutnya, sebagai manusia yang bergelar Muslim, perkataan bosan tidak meniti di bibir kita.
Muslim sebenarnya adalah orang yang paling sibuk, sibuk menyampaikan dakwah, baik dengan lisan mahupun dengan perbuatan fizikal. Tugas manusia sebagai khalifah tidak akan pernah selesai.

Tetapi sebagai manusia yang hidupnya sebagai orang Islam zaman sekarang, mana mungkin disamakan dengan orang Islam di zaman sahabat dahulu. Ada masa-masa senggang kita yang membuatkan kita terasa bosan. Tetapi, bosan sahabat-sahabat nabi s.a.w diisi dengan mengingati Allah, tetapi bosan kita diisi dengan menonton movie, membeli belah, berkaraoke atau melayari internet dan semuanya dilakukan tanpa arah tujuan yang nyata.
Cuba kita ubah rutin kita di kala bosan ini. Baca al-Quran di kala bosan, atau untuk lebih maju hafal satu surah pendek dan fahami terjemahannya. Ini mungkin kedengaran bosan pada sesetengah orang, tetapi Allah s.w.t telah menekankan kelebihan membaca al-Quran. Tidak mahukah kita menjadi orang yang beruntung hanya dengan membaca al-Quran?
Sementelah, Ramadhan juga semakin menghampiri. Rutin ini boleh digunakan sebagai persediaan sebelum melangkah ke bulan Ramadhan. Orang kata nanti baru ada "feel".

Kamu ingat menonton bola sahaja ada "feel"? Memakai baju pasukan kegemaran masing-masing, melangkah ke stadium dengan penuh bangga dan bersorak penuh keriangan, kebanyakan peminat bola sepak menganggap itulah "feel" untuk menikmati perlawanan bola sepak.
Mengapa tidak kita praktikkan perkara itu dalam perbuatan harian kita? Ambil wuduk dan bersiap-siap sebelum azan tiba, barulah terasa "feel" untuk menunaikan solat dengan penuh khusyuk.

Praktikkan bangun malam, qiamullail, membaca al-Quran setiap hari dan melakukan amal kebaikan sebelum tiba bulan Ramadhan, nah barulah ada "feel" untuk melaksanakan ibadah pada bulan Ramadhan nanti.
Tetapi perlu diingat, sebagai Muslim, bukan sahaja ibadah pada bulan Ramadhan yang harus dititikberatkan, tetapi ia harus dipraktikkan pada setiap hari kerana hidupku ibadahku. Lakukan setiap perkara dengan tujuan yang satu, iaitu niat kerana Allah kerana bagaimana mungkin kita merasa bosan jika semuanya dilakukan kerana Kekasih kita, Allah?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan