Jumaat, 15 Julai 2011

SIAPAKAH MUSLIM "MODERAT"?




17Share
islam-moderatislam-moderatPada 18 Disember yang lalu, sebuah akhbar online Canada, Toronto Star, telah menerbitkan sebuah artikel yang mengesyorkan supaya pengharaman bukan hanya dibuat terhadap niqab (penutup wajah/purdah) dan burqa (penutup seluruh tubuh), tetapi dibuat juga terhadap  hijab (tudung kepala).

Artikel tersebut menyatakan , “burqa dan niqab merupakan tradisi yang memandang bahawa perempuan sebagai objek seksual, seorang penggoda, yang mana dengan gerakan pergelangan kaki mereka dapat membawa lelaki (makhluk yang lemah yang tidak mampu menahan godaan ini) untuk bertekuk lutut di hadapan mereka. Ini adalah sistem nilai yang menjijikkan dan saya menolaknya. Begitu juga dengan semua warga Kanada yang menganut feminisme sekular. Jadi marilah kita mengharamkan pemakaian burqa, niqab dan hijab.”

Artikel tersebut menggunakan istilah “Muslim moderat” untuk menggambarkan orang-orang yang menyatakan bahawa, “Hukum pemakaian penutup kepala bukan hanya memalukan wanita, tetapi merupakan suatu penghinaan terhadap laki-laki.”

“Muslim Moderat”:  Adakah Suatu Ukuran yang Islami?

Artikel sebegini memberikan gambaran sebenar untuk kita melihat bagaimana amalan media, ahli politik oportunis dan lain-lain yang memuji-muji sebahagian orang Islam sebagai “Muslim moderat” dan mencela sebahagian umat Islam yang lain sebagai militan, radikal dan ekstrimis. Adalah merupakan suatu perkara yang 'membanggakan' jika dapat menampilkan diri sebagai sebahagian daripada kelompok moderat yang (kononnya) tidak menunjukkan pandangan negatif. Sebelum menggunakan istilah-istilah seperti 'Muslim Moderat' dan 'Muslim Ekstrimis', kita perlu memahami terlebih dahulu makna istilah-istilah tersebut.

Apakah yang dimaksudkan dengan “Muslim moderat”? Siapakah pula yang dikatakan “ekstrimis”?

Sebahagian manusia mungkin berpendapat bahawa istilah-istilah sebegini tidak merbahaya. Bagi mereka, semua ini hanyalah suatu cara untuk membezakan antara Muslim yang 'baik' dan yang 'buruk'.  CNN  melabel negara Algeria sebagai 'ekstrimis' kerana mengharamkan import terhadap arak. Sebelum wujudnya pengharaman tersebut,  Algeria dianggap sebagai “moderat.”

Untuk menganalisa masalah ini (atau dalam apa jua perkara), pertama-tamanya kita perlu merujuk kembali kepada Al-Quran dan as-Sunnah. Adakah Rasulullah SAW pernah membahagi-bahagikan atau membeza-bezakan para sahabat r.a. kepada puak 'moderat' dan puak ‘ekstrimis’? Adakah para sahabat r.a. pernah membanding-bandingkan antara satu sama lain dengan kayu ukur 'moderat' atau 'ekstrim'?  

Allah SWT berfirman:
إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu”.[TMQ al-Hujuraat (49) :13]

Oleh karena itu, tindakan mengelompokkan kaum Muslimin kepada 'moderat' dan 'ekstremis' adalah suatu perbuatan yang diada-adakan dalam Islam. Hal ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana generasi ulama Islam dan perkara ini baru sahaja diperkenalkan ke dalam wacana Islam.

Menjadikan Islam Kelihatan Buruk

Kenyataan daripada penulisan wacana tersebut bertujuan supaya Islam dilihat sebagai buruk. Media, lembaga kajian  dan ahli-ahli politik sentiasa mengecam Islam sebagai 'militan',  'radikal' dan 'ekstrimis', sehinggakan umat Islam sendiri merasa terancam apabila mereka ingin mengamalkan perintah agama mereka sendiri. Antara contohnya:

Larangan Minum Arak: Kaum Muslimin dianggap sebagai ekstrimis kerana melarang umat Islam yang lain untuk membeli arak di dalam negeri kaum Muslimin sendiri. CNN melaporkan, “suatu pungutan suara yang mengejutkan telah dilakukan oleh parlimen Algeria bertujuan untuk mengharamkan pengimportan arak di negara Muslim moderat yang mana ini merupakan tanda kembalinya ekstrimisme Islam …”. Kita dapat melihat bahawa media menganggap pengambilan arak sebagai salah satu ciri khas sebagai seorang 'Muslim moderat'. Sebaliknya, seseorang yang melarang umat Islam daripada mengambil arak adalah seorang 'ekstrimis'.

Pemakaian Hijab (tudung): The Toronto Star, sebuah akhbar yang berhaluan kiri di Kanada , menjadikan hijab sebagai sumber ketakutan dan menyeru kepada pengharamannya. Artikel dalam akhbar tersebut memuji-muji puak “Muslim Moderat” kerana membenci hukum pemakaiannya bagi wanita untuk menutup rambut mereka sepertimana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, iaitu dengan memakai jilbab (yang menutupi tubuh) dan pemeliharaan adab sopan antara lelaki dan wanita ketika berhubungan antara satu sama lain.
 Allah SWT berfirman:

 
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, “Hendaklah mereka melabuhkan jilbab mereka ke seluruh tubuh mereka”. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenali (sebagai Muslim), kerana itu mereka tidak diganggu”. 
[TMQ Al-Ahzab (33): 59]

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ

“Dan (bagi wanita) hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya)...”. [TMQ An-Nur (24) : 31]

Meninggalkan Kewajiban Menegakkan Khilafah: Suatu penulisan terbitan RAND yang bertajuk“Membangunkan Rangkaian Muslim Moderat” menyatakan bahawa: “Sama ada falsafah politik yang berasal dari Barat ataupun sumber-sumber daripada Al-Quran, untuk boleh dianggap sebagai demokratik, semuanya harus secara tegas mendukung pluralisme dan hak asasi manusia yang diakui secara antarabangsa… Dukungan terhadap demokrasi bermakna bertentangan dengan konsep negara Islam … Muslim moderat memegang suatu  pandangan bahawa tidak ada sesiapa yang boleh bercakap bagi puhak Tuhan (agama). Sebaliknya, perkara ini adalah merupakan kesepakatan masyarakat, sebagaimana yang digambarkan melalui pandangan umum (public opinion) yang diungkapkan secara bebas, itulah yang menentukan apa yang Tuhan inginkan dalam sebarang perkara tertentu”.

Ini secara langsung menyerang konsep Khilafah yang telah ditetapkan oleh Rasulullah SAW. Kita semua menyedari bahawa para sahabat r.a. yang telah menggantikan Rasulullah SAW dalam mendirikan Khilafah, di mana negara tersebut menerapkan hukum syari’ah berdasarkan Al-Qur’an, as-Sunnah, Ijma' sahabat  dan qiyas. Mereka tidak pernah menerapkan undang-undang berdasarkan keinginan kolektif rakyat.

Oleh kerana itu, lembaga kajian atau para pemikir, personaliti media dan ahli-ahli politik tertentu telah mendefinisikan “Muslim moderat” sebagai seseorang yang bersedia untuk meninggalkan perintah Allah SWT apabila perkara itu bertentangan dengan nilai-nilai liberal yang berasal daripada akidah sekular. Dari sudut yang lain, seseorang Muslim yang mentaati perintah-perintah Allah SWT dianggap sebagai seorang yang ekstrim dan ia harus dijauhi oleh masyarakat.

Bahaya Kompromi 

Kita juga harus menyedari tentang bahaya melakukan kompromi. Kita mungkin terpengaruh untuk 'mengurangkan' amalan-amalan hukum Islam dengan harapan akan dianggap sebagai moderat. Namun, Allah SWT telah memberi amaran kepada kita terhadap amalan seperti ini:
 
وَدُّوا لَوْ تُدْهِنُ فَيُدْهِنُونَ

"“Mereka menginginkan supaya kamu berkompromi, maka mereka (juga) akan berkompromi." [TMQ al-Qalam (68) : 9]

Walaupun taktik dalam mempromosikan “Muslim moderat” ini merupakan perkara yang baru, tetapi sebenarnya ini bukanlah topik yang baru. Kekuasaan kolonial telah berusaha selama berabad-abad untuk membuatkan kaum Muslimin untuk menerapkan sekularisme sebagai  rujukan utama hidup mereka. Visi untuk menimbulkan mentaliti terjajah telah disosialisasikan pada tahun 1854 oleh Mountstuart Elphinstone, yang mengatakan bahawa, “kita tidak boleh bermimpi atas adanya kepemilikan abadi, tetapi harus menerapkan bagi diri kita sendiri untuk  membawa kaum pribumi ke dalam suatu negara yang akan mengakui hak mengatur diri mereka sendiri melalui cara yang mungkin bermanfaat bagi kepentingan kita …”

Tetap Berpegang Teguh pada Agama 

Umat Islam pada hari ini telah jatuh berkali-kali setelah pelbagai kali cubaan. Apabila kita membaca akhbar, menghidupkan televisyen atau melayari internet, kita dapat melihat bahawa berita-berita yang berunsur tuduhan dan pembohongan sering dilemparkan terhadap agama kita, Nabi SAW atau umat Islam. Tekanan sebegini telah memaksa sebahagian daripada kaum Muslimin untuk menjelaskan tentang Islam dengan cara yang salah bertujuan untuk meredakan kritikan-kritikan tersebut, dengan harapan agar mereka dianggap sebagai 'moderat'. Kita tidak sepatutnya jatuh ke dalam perangkap ini. Sebaliknya, kita perlu menguatkan hubungan kita dengan Allah SWT dan ingat bahawa Allah SWT telah pun memberi peringatan kepada kita tentang ujian-ujian tersebut. Antaranya:
 
وَلَتَسْمَعُنَّ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِكُمْ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا أَذًى كَثِيرًا

“Dan kamu pasti akan mendengar banyak perkara yang sangat menyakitkan hati dari orang-orang yang diberi Kitab sebelum kamu (Yahudi dan Nasrani) dan daripada orang-orang yang mempersekutukan Allah (musyrik)”
 [TMQ al-Imran (3) : 186]
 
أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَوَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ

"Adakah manusia itu menyangka bahawa mereka akan dibiarkan (sahaja) dengan mengatakan: “Kami telah beriman”, dan (sedangkan) mereka belum diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Dia mengetahui orang-orang yang dusta.[TMQ al-Ankabut (29) : 2-3]

Dan Rasulallah SAW juga telah mengingatkan kita bahawa di akhir zaman ini, akan datang suatu masa di mana apabila kita berpegang teguh kepada Deen ini, ia adalah ibarat menggenggam bara api”
[HR At-Tirmidzi]

Dalam suasana yang penuh dengan fitnah ini, kita harus menguatkan kembali komitmen kita terhadap Allah SWT, bekerja keras untuk mempertahankan identiti Islam kita serta tetap percaya terhadap diri sendiri sebagaimana Allah SWT telah menjanjikan kepada kita :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu." [TMQ Muhammad (47) :7]

Kita juga harus menyedari bahawa tujuan sebenar daripada keberadaan kita di dunia ini adalah untuk mencapai redha Allah SWT, dan kelak kita akan dibangkitkan kembali bersama-sama dengan para sahabat Rasulullah SAW. Oleh kerana itu, kita harus tabah atas segala ujian  yang menimpa kita dan tetap teguh dengan tugas dakwah yang sedang kita pikul. Seseorang  yang beriman tidak akan pernah merasa rugi ketika dia menahan penderitaan hanya untuk mendapatkan redha Allah SWT  kerana sesungguhnya dia sedang bekerja untuk mendapatkan balasan yang abadi, iaitu syurga Allah yang kekal abadi.

Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh menakjubkan urusan orang-orang yang beriman.  Seluruh hidupnya adalah menguntungkan, dan itu hanya terdapat pada orang beriman. Jika dia mendapat kebaikan dan bersyukur maka itu adalah baik untuknya, dan jika dia mendapat keburukan dan dia bersabar maka itu juga baik untuknya.” [HR Muslim].

Jika kita melihat para sahabat ra, kita akan dapati bahawa mereka adalah contoh yang terbaik dalam keteguhan hati dan ketabahan. Mereka mendapat ujian yang sama dengan apa yang kita hadapi di mana orang-orang kafir menggunakan cara yang keji  untuk memberi gambaran buruk terhadap Islam. Orang-orang kafir berusaha untuk membuat Islam supaya kelihatan buruk dengan cara menghalang dakwah Islam. Allah SWT berfirman:
 
قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ مَنْ آمَنَ تَبْغُونَهَا عِوَجًا وَأَنْتُمْ شُهَدَاءُ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

“Katakanlah: “Wahai ahli Kitab, mengapa kamu menghalang-halangi daripada jalan Allah terhadap orang-orang yang telah beriman, kamu menghendakinya (jalan Allah) supaya menjadi bengkok, padahal kamu menyaksikan?”
 [TMQ Al-Imran (3) : 99]


Kaum Quraisy juga menggunakan propaganda untuk menuduh Rasulullah SAW dan para sahabat ra sebagai punca perkara-perkara ekstrim dalam masyarakat. Meskipun terminologi (istilah-istilah) yang mereka gunakan adalah berbeza-beza, namun tujuan mereka adalah sama, iaitu untuk menekan umat Islam supaya pemikiran umat Islam selari dengan pemikiran, emosi, dan hukum Quraisy yang kufur. Contohnya Al-Waleed bin Al-Mughirah, dia memimpin dalam merancang strategi propaganda untuk memulaukan Rasulullah SAW. Beberapa ideanya (seperti menuduh Nabi sebagai penyair, tukang tilik, orang yang telah dirasuk oleh jin dan lain-lain) telah ditolak kerana itu semua tidak realistik. Mereka menuduh Nabi sebagai seorang penyihir yang menggunakan kata-kata untuk  memutuskan hubungan keluarga.

Walaupun dalam suasana fitnah dan ketakutan, Rasulullah SAW dan para sahabatnya tetap berdiri teguh di atas deen mereka dan tidak berganjak walaupun berada di dalam tekanan. Sebaliknya para sahabat  menunjukkan keberanian yang sangat hebat. Contohnya, ketika Rasulullah SAW dan para sahabatnya tinggal di Mekah sebelum berhijrah, Abdullah bin Mas’ud ra mengatakan bahawa dia mahu memperdengarkan Al-Quran pada masyarakat Quraisy. Jadi pada suatu pagi, dia pergi ke Ka’bah dan membaca ayat Al-Qur’an dengan suara yang lantang, lalu orang-orang Quraisy menyerangnya. Setelah dia kembali (dalam keadaan cedera) kepada para sahabat, mereka berkata: “Inilah yang kami khuatirkan apa yang akan terjadi kepadamu”. Dia menjawab, “Musuh-musuh Allah tidak pernah lebih hina di mataku daripada saat ini, dan jika kamu mahu, saya akan pergi lagi dan melakukan perkara yang sama esok.”

Allah SWT akhirnya memenangkan mereka atas musuh-musuh mereka di dunia ini dan memberikan mereka kesenanganNya di akhirat:

 
رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ

“Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah”. [TMQ at-Taubah (9) : 100]

Jika kita menginginkan redha Allah SWT, kita wajib mengikuti apa yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya, maka kita akan digolongkan bersama-sama orang-orang yang diredhaiNya. Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kekuatan  dan tekad untuk menanggung penderitaan di zaman ini dan sentiasa berada di barisan hadapan dalam memikul dakwah Islam serta mengembalikan kehidupan Islam di dunia ini, insyaallah. Amin.

 
وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

"Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, sedangkan kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang-orang yang beriman." [TMQ al-Imran (3) : 139]

Sumber: Khilafah.Com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan